Projek SAMA mengucapkan tahniah kepada Perikatan Nasional (PN) atas rombakan kabinet bayangan yang menambahkan lima orang ahli baru dan mengubah portfolio lima orang sedia ada.
Projek SAMA mengucapkan tahniah kepada lima orang Menteri Bayangan baru yakni:
1. Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri, Pengajian Tinggi (Kemaman/PAS)
2. Shahir Sulaiman, Ekonomi (Bachok/PAS)
3. Bakri Jamaluddin – Perladangan dan Komoditi (Tanga Batu/PAS)
4. Afnan Hamimi, Belia dan Sukan (Alor Setar/PAS.
5. Datuk Abdul Khalib Abdullah, Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam (Rompin/Bersatu)
Projek SAMA berharap mereka akan memanfaatkan peluang Ini untuk menonjolkan kaliber dan kesediaan menjadi menteri pada masa akan datang.
Projek SAMA yakin bahawa semua rakyat akan beruntung dan ekonomi bertambah baik sekiranya parti-parti kerajaan dan pembangkang dapat bersaing atas dasar dan penyelesaian untuk cabaran yang menduga Malaysia, daripada bertikam lidah dan berlawan sorak atas perang budaya (cultural wars) pasal etnik, agama, bahasa dan istana.
Projek SAMA mengulangi seruan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengiktiraf kabinet bayangan seperti yang dilaksanakan di negara-negara demokrasi berparlimen yang matang seperti United Kingdom, Australia, Kanada dan New Zealand.
Cadangan Projek SAMA tentang pengiktirafan kabinet bayangan merangkumi empat point:
1. Menteri-Menteri Bayangan mengangkat sumpah sebagai pembangkang setia di bawah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (His Majesty’s Loyal Opposition).
2. Menteri-Menteri Bayangan diberi elaun bulanan RM5,000 (hampir sepertiga daripada gaji menteri, mencontohi Australia) tanpa pensyen, caruman KWSP dan segala imbuhan yang lain.
3. Menteri-Menteri Bayangan diberi sumber untuk menggaji seorang penyelidik yang berkelulusan sesuai dengan portfolio mereka.
4. Menteri-Menteri Bayangan diberi akses yang bersesuaian (commensurate) kepada maklumat kerajaan.
Pengiktirafan kabinet bayangan selaris dengan gagasan Madani dalam earti kata memupuk hormat (respect), keyakinan (trust), menunjukkan daya cipta (innovation) dan menginsentifkan kesejahteraan (prosperity).
Kenyataan yang dikeluarkan oleh:
Projek SAMA
Projek – Kestabilan dan Akauntabiliti untuk Malaysia (Projek SAMA) ialah satu inisiatif untuk memperjuangkan pembaharuan institusi-institusi demi kestabilan politik dan akauntabiliti pada masa negara kita mengharungi perairan parlimen dan kerajaan gabungan yang belum dipetakan. Sebagai anak Malaysia, nasib kita bagaikan aur dengan tebing, marilah kita berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Ngeow Chow Ying berfungsi sebagai konvenor Projek SAMA. Sila hubungi kami melalui e-mel projeksama.malaysia@gmail.com atau layari laman seswang kami di www.projeksama.org untuk maklumat lanjut