Skip to main content

Kenyataan Bersama BERSIH, IDEAS, Projek SAMA dan Rasuah Busters Berhubung RUU Perkhidmatan Parlimen 2025

28 Februari 2025

Malaysia berhak memiliki Akta Perkhidmatan Parlimen (PSA) yang kukuh dengan kualiti gred A dalam lima aspekutama: (1) kepimpinan; (2) autonomi pentadbiran; (3) autonomi kewangan; (4) perkhidmatan kepada Ahli Parlimen; dan (5) kebertanggungjawaban kepada rakyat (rujuk Jadual 1) untuk memperkukuh fungsinya sebagai mekanisme semak dan imbang terhadap badan Eksekutif serta meningkatkan kualiti penggubalan dasar dan undang-undang.

Kami menggesa Kerajaan Madani, pihak pembangkang rasmi Perikatan Nasional (PN) serta semua Ahli Parlimen untuk membawa 11 penambahbaikan penting (Jadual 2) terhadap Rang Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen (RUU PSA)yang telah dibentangkan bagi bacaan kali pertama pada 24 Februari 2025 (Isnin) sebelum dibentangkan untuk bacaankedua pada 4 Mac 2025 (Khamis) supaya RUU ini mencapai kualiti 5A.

Walaupun beberapa perkara boleh dilaksanakan melalui Peraturan Mesyuarat Dewan atau arahan pentadbiran, kami berpendapat bahawa lebih baik jika peruntukan atau jaminan yang jelas dimasukkan terus dalam RUU PSA 2025 untuk hal-hal penting seperti perwakilan ahli Pembangkang dan ahli Parlimen Kerajaan dalam Majlis Perkhidmatan Parlimen (MPP), meletakkan semua kakitangan atau sekurang-kurangnya sebahagian besar jabatan di bawah PSA, pelantikandan jaminan tempoh perkhidmatan bagi Setiausaha Dewan Rakyat dan Dewan Negara, autonomi kewangan untuk MPP, serta penubuhan Pejabat Bajet Parlimen dan Pejabat Penggubal Undang-Undang Parlimen.

Berdasarkan kajian terhadap akta perkhidmatan parlimen di beberapa buah negara Komanwel, termasuk PSA 1963 Malaysia yang dimansuhkan pada 1992, kami telah membangunkan satu rangka kerja analisis dengan lima kriteria penilaian yang digredkan dari A hingga E untuk menilai RUU PSA 2025 (Jadual 1). Kami sepenuhnya sedar akan keterbatasan dan subjektiviti rangka kerja ini kerana kajian kami hanya tertumpu pada akta utama tanpa meneliti peraturan atau dinamik kuasa dalam parlimen negara-negara yang dikaji.

Disebabkan masa yang terhad sejak pengumuman pembentangan rang undang-undang ini, hanya inilah yang mampu diusahakan oleh empat NGO dalam keadaan yang sepatutnya memerlukan kertas hijau, kertas putih atau kajianterperinci oleh bahagian Perpustakaan dan Perkhidmatan Penyelidikan Parlimen sendiri.

Usaha ini bertujuan untuk memudahkan perbahasan terbuka mengenai matlamat, fungsi, dan reka bentuk perkhidmatan parlimen yang diperlukan oleh Malaysia. Lebih-lebih lagi apabila kerajaan seperti ingin menghadkan skop rang undang-undang ini kepada parameter PSA 1963 dan mengecualikan sebahagian besar pegawai parlimen daripada cakupannya.

Kami tidak dapat memahami mengapa Kerajaan Madani mengambil pendekatan yang begitu terbatas, sedangkan parlimen di negara-negara Komanwel seperti New Zealand, Australia, United Kingdom, dan Kanada telah melaksanakan reformasi berani bagi mewujudkan perkhidmatan parlimen yang lebih profesional dan berdayamaju, sejak atau bahkansebelum pemansuhan PSA 1963 pada tahun 1992.

Jika Kerajaan tidak menggunakan strategi pembangunan ekonomi dari tahun 1963 untuk lanskap yang sudah banyak berubah pada 2025, mengapa pula Kerajaan mahu mengikat dirinya kepada rangka tahun 1963 dalam usaha reformasiparlimen, dan bukannya mencontohi amalan terbaik antarabangsa?

Berdasarkan rangka kerja penilaian kami, RUU PSA 2025 hanya memperoleh gred komposit 1C3D1E. Walaupun iniadalah satu kemajuan berbanding status quo sejak 1992 yang bertaraf 5E,dan hampir setanding dengan kualiti PSA 1963 yang telah dimansuhkan (lihat Jadual 3).

Namun, gred komposit ini bermakna bahawa jika rang undang-undang ini diluluskan, Parlimen masih akan berada dibawah pengaruh kuat eksekutif serta tidak mempunyai sumber dan kuasa yang mencukupi untuk menjalankan semakan dan imbangan serta menghasilkan

undang-undang dan dasar yang lebih baik.

Walaupun amat kecewa dengan tahap aspirasi yang rendah oleh Kerajaan Madani dalam PSA 2025, kami tetap mengucapkan tahniah atas usaha memulihkan semula perkhidmatan parlimen—satu idea yang telah dibincangkan sejak 2005 di bawah pentadbiran Perdana Menteri Abdullah Badawi, tetapi gagal direalisasikan oleh empat Kerajaan berturut-turut sebelum Kerajaan Madani.

Keazaman politik Kerajaan Madani dalam melaksanakan reformasi ini wajar dipuji, terutamanya apabila 70% penjawat awam parlimen menyatakan bantahan terhadapnya dalam satu tinjauan sebelum ini, seperti yang diakui oleh Ketua Pembangkang Parlimen, Datuk Seri Hamzah, semalam (27 Februari 2025).yang berkemungkinan berpunca daripada taklimat dan maklumat yang tidak mencukupi mengenai butiran serta alternatif bagi Akta Perkhidmatan Parlimen.

Penolakan terhadap PSA yang baharu ini didorong oleh pelbagai motivasi daripada autoritarianisme, sifat kewilayahan kuasa sehingga kepada isu laluan kerjaya. Malangnya, kebimbangan sah yang dihadapi oleh sebahagian penjawat awam tidak pernah dinyatakan secara terbuka untuk memungkinkan perbincangan awam bagi mencari penyelesaian menang-menang. Episod ini sekali lagi menjadi contoh mengapa proses penggubalan Rang Undang-Undang perlu dipertingkatkan dengan mengadakan rundingan yang mencukupi bersama semua pihak berkepentingan, mengakui kebimbangan mereka, dan mendapatkan sokongan mereka sejak awal.

Pada 4 Mac, apabila RUU PSA 2025 dibentangkan untuk bacaan kedua, kami berharap agar keberanian Kerajaan Madani, Pembangkang PN, dan semua 222 Ahli Parlimen dapat diserlahkan dalam memastikan PSA yang kukuh dengan kualiti 5A yang benar-benar mencerminkan semangatnya. Marilah kita gunakan peluang ini untukmemperkukuhkan salah satu institusi demokrasi yang penting di negara ini.

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH)

Institute for Democracy andEconomic Affairs (IDEAS)

Project Stability and Accountability for Malaysia (Projek SAMA)

Rasuah Busters

Leave a Reply