Kenyataan Bersama CSO-Media tentang peluncuran pergerakan #MZB365
Tarikh : 7 April 2024
Kami, pertubuhan-pertubuhan dalam masyarakat sivil dan media, mengembleng tenaga untuk
menyeru semua rakyat Malaysia untuk melawan ungkapan kebencian dan provokasi etnik-agama
dengan rahmah setiap hari.
Kami menyeru seluruh rakyat Malaysia mengangkat amalan ‘maaf zahir batin’ ke tingkat yang lebih
tinggi. Amalan memohon dan memberi maaf adalah ajaran dalam Islam, dan juga dalam sistem nilai
agama Budha, Kristian, Hindu, Sikh, Taoisme, dan komuniti-komuniti orang asal/asli di Sabah,
Sarawak dan Semanjung.
Mari kita lazimkan amalan memohon dan memberikan ‘maaf zahir batin’ sepanjang tahun, tidak
terhad kepada Raya Aidil Fitri dan Syawal, tetapi dari awal Muharam sampai ke akhir Zulhijjah, dari 1
Januari sampai ke 31 Disember, sepanjang 365 hari setahun.
Mari kita jayakan pergerakan #MZB365 ini kerana kita sebagai manusia berbuat salah setiap hari,
perlu insaf dan memohon maaf setiap hari, dan juga bersedia memaaf setiap hari.
Jika kita segan memohon maaf, maka pembinasaan yang kita lakukan, sama ada berniat atau tidak,
kerana kejahatan mahupun kekhilafan, tak kira besar atau kecil, akan berkekalan dan merosakkan
hubungan dan silaturahim antara insan. Mohon dan beri maaf boleh berlaku di antara suami dan
isteri, antara anak dan orang tua, antara saudara-mara, antara murid, ibubapa dan guru, antara jiran
tetangga, antara rakan sejawat, antara orang-orang yang saling tidak mengenali tetapi menemui
sesama lain di lalulintas, antara individu-individu yang melanggar undang-undang dan masyarakat,
dan antara komuniti yang berlainan.
Pada masa yang sama, apabila kita memaafkan orang lain, ini tidak bermakna kita menjadi lebih
lemah dan secara tidak sedar menggalakkan lebih banyak salahlaku. Ini sudahnya bukan untuk
mengkompromikan kedaulatan undang-undang. Apabila pesalah melanggar undang-undang, pesalah
tetap menghadapi pengadilan dan hukumannya. Pengampunan dan pengurangan hukuman hanya
terjadi apabila si pesalah menyedari kesalahannya, mengaku bersalah, menembusi pembinasaannya
dan/atau berikthiar untuk tidak mengulangai kesalahan itu.
Memberi maaf kepada mereka yang ikhlas memohon maaf sebenarnya memperkuatkan kita dan
juga masyarakat secara keseluruhan. Ia membina pendamaian, mengurangkan salah faham,
menghapuskan benci dendam, dan mengeratkan siraturahim kita sebagai manusia yang dicipta
berlainan, supaya kita lebih mengenali sama satu lain melalui kelainan.
Memupuk semangat dan amalan memohon dan memberi maaf menjadi semakin penting kerana
terdapat individu-individu dan puak-puak yang setiap hari mencari peluang dan alasan untuk
memecahkan masyarakat demi kepentingan politik, perniagaan dan peribadi. Mereka mencari setiap
salahlaku yang boleh diperbesarkan untuk menyemai perasaan sangsi dan benci supaya mereka
dapat diangkat menjadi pahlawan sampai ada yang melampaui batas undang-undang dengan
membakar dan mengganas.
Gejala populisme yang berasaskan kebencian dan teori konspirasi sudahpun melumpuhkan negara,
membinasakan masyarakat, menjatuhkan ekonomi, melaparkan kanak-kanak, menenggelamkan
impian malah meragut nyawa di banyak perusuk di dunia. Kita mesti pastikan Malaysia tidak
mengikut jejak mereka.
Di mana batas undang-undang dilampaui, kedaulatan undang-undang mesti ditegakkan tanpa
kompromi. Di mana akal ditipu dengan propaganda dan pembohongan, kebenaran dan pemikiran
logical mesti ditegakkan. Akan tetapi, tiada penawar yang lebih baik daripada rahmah, yang boleh
mengeratkan silaturahim, menghancurkan benci, melenyapkan sangsi dan menewaskan mereka
yang ingin menangkuk dalam air keruh.
Rakyat Malaysia berupaya menghadapi keadaan mencabar dengan kekuatan. Apabila pandemik
Covid-19 melanda, kita ada #KitaJagaKita. Kini kebencian merebak, mari kita #MZB365, melawan
benci dengan rahmah setiap hari. Sertai dan jayakanlah pergerakan ini!
Senarai terkini NGO-NGO yang mengambil bahagian dalam pergerakan #MZB365 [Klik Sini]